1. Bersifat
warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan
dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga
perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya
(syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:
“Daripada Abu
Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah
mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata
(terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran,
yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa
memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia
memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam
perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang
pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir
sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi
tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan
Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam
badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya
dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang
dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari
dan Muslim)
Adapun setinggi-tinggi pencapaian
darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain,
bermaksud):
“Seorang hamba
(Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin
sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi
kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap
berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”
2.
Memelihara penglihatan.
Seseorang muslim itu mestilah
memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan
oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh
merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan
maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang
–orang mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak
memberi faedah, firman Allah Subahanu Wata,ala:
Katakanlah kepada orang
laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya,
dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi
mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
(An-Nur: 30)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan itu ada
satu panahan dari panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan (antara lain,
bermaksud):
“Hendaklah kamu
memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau
Allah akan menghodohkan wajah kamu.”
(Hadith Riwayat At Tabrani)
3. Memelihara Lidah
Seseorang muslim itu mestilah memelihra
lidahnya dari menuturkan kata-kata yng tidak berfaedah,
perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan
kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam Nawawi
rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu
sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali
percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam
diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah
lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin
membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak
berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”
Sebenarnya banyak dari hadith-hadith
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan dan
bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan
muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek)
lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang
mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor
dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa yang banyak bercakap, maka
banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka
banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah
paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang muslim mestilah bersifat pemalu
dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya
menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu
seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara
pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap,
berasa cukup seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat
seumpamanya. Diceritakan dari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari
anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
bersabda:
“Iman itu mempunyai
tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama
ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan
Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan.
Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman”
Berhubung dengan sifat malu ini para
ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang
menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya
dari mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling
ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah,
sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan
berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah
jalan da’wah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan,
penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan.
Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal
Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh
malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan
tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia
bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh lapisan manusia
yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan
menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang
‘alim, orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif),
orang yang mudah bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang
tenang dan yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib
menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar
kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan
memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan
kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.
Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat
Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i
itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah lembut dan
berhati-hati.